--
3

Pada malam Rabu lepas, tepat jam 9.22 pm, satu kejadian gempa bumi telah berlaku di New Zealand. Gempa bumi berpusat di sekitar Fiordland, kira-kira 300 km ke timur laut Dunedin dan boleh dirasai sehinggalah ke Taranaki. Gempa bumi yang bermagnitud 7.8 itu turut dirasai oleh sahabat-sahabat Dunedin kita.

Dapat jugalah kita merasa pengalaman panik untuk seketika, yang secara langsung mengingatkan kita tentang kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Mengikut sumber yang dipercayai, setakat ini, gempa bumi ini adalah yang terkuat di dunia untuk tahun 2009.


Agak kelakar bila berkongsi pengalaman dengan rakan masing-masing. Ada yang telan pil darah tinggi, ada yang tak sedar langsung ketika gempa bumi berlaku, kononnya khusyuk solat dan tak lupa juga yang asyik menikmati kehangatan mandian malam. Ada juga yang terlampau panik sehingga berlari keluar rumah (*kepada yang berkenaan jangan marah ye).

Memang kebanyakan warga New Zealand trauma denga gempa bumi dan tsunami ini. Kekuatan gempa bumi dan tsunami mampu mengubah kebudayaan sesuatu kaum sebenarnya. Tak percaya? Selagi kita dikelililngi oleh laut, memang risikonya sentiasa ada.

Gempa Bumi, Tsunami dan Maori

Mengikut sejarah, gempa bumi yang terkuat bermagnitud 8.1-8.2 pernah melanda kepulauan Utara New Zealand pada 23 Januari 1855 dan menghasilkan beberapa gelombang tsunami. Ini termasuklah beberapa siri gempa bumi (1868, 1877 dan1960) yang menghasilkan gelombang tsunami setinggi 5- 10 meter. Bencana ini telah menghancurkan perkampungan Maori di New Zealand beberapa kali yang kebanyakannya berpusat di tepi pantai. Itulah sebabnya mereka telah mengubah tradisi penempatan dengan membina rumah-rumah di atas bukit. Contoh yang terdekat dapat dilihat di Dunedni sendiri, iaitu di Maori Hill. Yang tinggal di tepi-tepi laut kini hanyalah orang Eropah yang berhijrah ke sini (dan pelajar-pelajar seperti kita…).

Teori Plat Tektonik

Untuk menjelaskan kejadian gempa bumi ni, kita perlu berbalik kepada teori plat tektonik. Teori plat tektonik menjelaskan pergerakan plat lithosphere (lapisan terluar kalau dilihat dari segi struktur bumi dan manusia serta segala makhluk lain tinggal di atas lapisan ini). Lapisan ini bertanggungjawab membentuk landskap bumi seperti banjaran gunung di darat dan di dalam laut serta jurang (e.g. Jurang Mariana).

Proses ini sangat kompleks, memerlukan dan menghasilkan tenaga haba yang tinggi dan kebanyakan ilmu kaji bumi, terutamanya geologi, terbina dengan penghasilan teori sahaja. Ini disebabkan kos yang terlalu tinggi untuk kajian dan kondisi dalaman bumi (suhu bahagian dalam bumi yang tinggi) yang ekstrem menghalang manusia meneroka lebih jauh ke dalam bumi. Mengikut teori ini juga, plat-plat lithosphere yang utama (7 semuanya: Pasifik, Eurasian, Afrika, Amerika Utara Amerika Selatan, Indo-Australia dan Antartik). Kesemua plat ini sentiasa bergerak dengan kadar yang sangat perlahan, hanya beberapa sentimeter sahaja dalam setahun.

*Plat-plat litophere yang utama


* Rajah menunjukkan asas teori plat tektonik. Plat-plat terhasil dari kawasan yang dinamakan oceanic ridge dalam bentuk lahar yang panas dan menolak plat-plat yang lebih tua lebih jauh dari kawasan pembentukannya. Apabila ketumpatannya bertambah hasil dari penyejukan oleh air laut, plat-plat ini akan kembali ke bawah bumi untuk dijana semula. Proses ini merupakan kitaran berterusan yang mengambil masa selama berjuta-juta tahun. Yang paling penting ialah penghasilan dan penghapusan atau penjanaan semula plat-plat berlaku pada kadar yang tetap. Itulah sebabnya saiz bumi langsung tidak pernah berubah.

Semasa plat-plat ini bergerak, berlaku pertembungan, pemisahan dan pergeseran antara mereka. Ada sebahagian plat yang retak lalu berpecah menjadi serpihan plat yang lebih kecil. Walaubagaimanapun, pergerakan mereka tidak lancar di penghujung setiap plat, atau di sempadan antara plat. Pergerakan plat-plat ini umpama direntap dengan pantas dan berlaku dalam beberapa siri. Inilah yang dinamakan gempa bumi. Kebanyakan gempa bumi berlaku di sempadan antara plat-plat utama bumi seperti yang disenaraikan.

Apa Kaitan Tsunami Dengan Gempa Bumi?


Gelombang tsunami terhasil akibat pergerakan drastik secara tiba-tiba oleh plat-plat lithosphere di dalam laut. Ini mungkin terhasil daripada gempa bumi di dasar laut, letupan gunung berapi yang dasyat seperti Krakatau, tanah runtuh berskala besar di dasar laut atau impak meteorit. Kebanyakan tsunami terhasil daripada gempa bumi di kawasan di mana plat-plat yang berketumpatan tinggi jatuh masuk semula ke dalam bumi untuk dijana semula di bawah laut.

Rasanya cukup sahajalah setakat ini. Satu nasihat untuk semua sahabat dan rakan-rakan, selalulah peka dengan keadaan sekeliling dan dapatkan info secukupnya mengenai gempa bumi dan amaran tsunami oleh pihak berkuasa.

Elok sekiranya semua pihak termasuk para pelajar Malaysia di sini atau di tempat lain berbincang untuk memilih satu tempat kecemasan untuk kita semua berkumpul sekiranya berlaku tsunami. Pilihlah kawasan tinggi di Dunedin, contohnya seperti di Signal Hill, Maori Hill, Pine Hill atau di mana sahaja kawasan berdekatan yang cukup tinggi. Eloklah kita sendiri yang berikhtiar.

Gelombang Tsunami bergerak dengan kelajuan 800 km/j dan apabila masuk ke Otago Harbour nanti, gelombangnya akan menjadi lebih tinggi dan besar. Kemungkinan besar hampir semua populasi Dunedin akan hilang kecuali bangsa Maori yang belajar dari sejarah.

Info di atas cuma teori sains ciptaan manusia yang boleh dilihat dengan pandangan mata kasar. Antara ciri orang beriman ialah, mereka sentiasa merenung sesuatu kejadian itu dengan mata hati yang halus berpandukan wahyu ilahi. Gempa bumi malam rabu yang lepas sudah cukup memberi amaran kepada kita sebagai seorang muslim dan mukmin, untuk sentiasa mendekatkan diri dan mengharapkan perlindungan Allah SWT.

Ingatlah dalam dua ayat terkhir dalam Surah Yassin yang berbunyi:
"Sesungguhnya urusannya apabila Dia mengkehendaki sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya, 'Jadilah!' Maka jadilah sesuatu itu."

"Maka Maha Suci ALLAH yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nya kamu dikembalikan."


= = = = = = = = = = = = = = =

By: Amirul Mukminin


p/s: Sayangilah rakan anda yang bekerja di laut. Balaslah senyumannya, kerana senyuman itu mungkin senyuman terakhir daripadanya... =)

3 Response to Gempa, Tsunami dan Kita

Anonymous
July 26, 2009

bebaik kalau gi portobello.. hehe

Anonymous
July 26, 2009

sape la yg telan pil darah tinggi ti ek..hurmmm

Anonymous
July 27, 2009

jzkk.. atas perkongsian yang menarik..=)